Monday, May 16, 2011

Tanggungjawab Suami & Isteri

Tanggungjawab seorang suami

1. Adil
Salah satu tanggungjawab utama seorang suami terhadap isterinya (isteri-isteri) ialah mengawal isterinya serta berlaku adil kepadanya kerana isteri itu adalah amanah Allah yang diserahkan kepada si suami.

Jika sesorang lelaki itu mengahwini lebih daripada seorang isteri, bermakna suami itu perlulah bersikap adil terhadap semua isterinya. Suami hendaklah memenuhi keperluan isteri-isterinya tanpa melebih-lebihkan salah seorang daripada mereka. Suami perlulah mengaturkan jadual bermalam yang adil supaya tidak berlaku perbalahan sesama isteri dan juga dengan si suami yang akan menghalang pembentukan keluarga bahagia.


2. Pemimpin
Suami juga bertindak sebagai ketua rumah dalam sesebuah keluarga. Suami bertindak sebagai pemerintah yang bertanggungjawab terhadap pemerintahannya iaitu keluarganya. Suamilah yang akan membuat keputusan yang membabitkan keluarganya.

Suami juga hendaklah bertanggungjawab menjaga keselamatan dan kebajikan orang-orang dibawahan jagaannya, iaitu isteri serta anak-anaknya. Tanggungjawab yang dipikul ini adalah besar, oleh itu si suami hendaklah bersedia untuk memimpin sebuah kerajaan yang dibinanya.


3. Nafkah
Si suami juga hendaklah memberi nafkah zahir dan batin kepada isterinya mengikut kemampuannya. Menyediakan keperluan asas kepada si isteri iaitu: makanan yang mencukupi, pakaian mengikut keperluan dan tempat tinggal.

Suami juga hendaklah memberikan wang yang secukupnya kepada si isteri supaya ia boleh membeli keperluan rumahtangga. Untuk pakaian pula, si isteri berhak untuk pakaian yang sesuai mengikut keadaan dan kemampuan si suami. Si isteri juga berhak untuk mendapatkan tempat tinggal yang selesa, selamat dan sekurang-kurangnya mempunyai keperluan yang minimum. Nafkah anak-anak juga adalah tanggungjawab suami. Menurut Rasulullah, memberi nafkah kepada anak dan isteri sama hukumnya dengan orang yang berjihad ke jalan Allah. Suami haruslah ikhlas, walaupun kepenatan kerana apa yang dilakukan adalah ibadah.

Untuk keperluan batin pula, si suami hendaklah memenuhi keperluan isteri tanpa mementingkan diri sendiri.


4. Pendidikan
Pendidikan agama sangat penting dalam kehidupan kita sehari-hari. Kita perlulah sentiasa memperbaiki diri kita yang serba kekurangan ini. Dalam sesebuah institusi keluarga, suamilah yang bertanggungjawab memberikan nasihat dan pengetahuan serta pengajaran hukum Islam dalam hal-hal fardu ain kepada isteri dan anak-anak. Oleh sebab itu, suami perlulah melengkapkan dirinya dengan pendidikan agama supaya ia dapat mengajar isterinya.


5. Pelindung
Si suami juga bertanggungjawab memberi perlindungan, penjagaan dan kegembiraan kepada si isteri. Isteri adalah amanah Allah, maka sudah tentu si suami hendaklah menjaganya serta menggembirakan hatinya. Hendaklah si suami memastikan bahawa si isteri sentiasa berasa senang tanpa rasa susah hati dan sengsara.

Suami hendaklah memastikan bahawa hati si isteri tidak terluka dengan sikap si suami. Jika si isteri melakukan sesuatu perkara yang kurang disenangi oleh suami, maka si suami hendaklah bersabar dan beralah dengannya asalkan ia tidak merosakkan peribadi si isteri dan si isteri tidak melakukan perkara-perkara yang ditegah dalam Islam.

6. Melayan & menggauli isteri dengan baik
Gurauan adalah perlu dalam perhubungan suami isteri kerana ia boleh merapatkan lagi perhubungan mereka. Ia juga merupakan salah satu cara untuk merehatkan badan dan pemikiran. Suami hendaklah menggembirakan hati si isteri apabila berehat dengannya dengan berjenaka secara sederhana. Apabila menggauli si isteri, suami hendaklah melakukannya dengan lemah lembut, sopan santun dan tidak zalim.



Tanggungjawab seorang isteri
1. Taat
Tanggungjawab utama seorang isteri ialah isteri perlulah taat dan patuh kepada suaminya. Kesetiaan isteri kepada suaminya perlu diutamakan terlebih dahulu lebih daripada keluarga terdekatnya sendiri.

Larangan berpuasa tanpa keizinan suami ini diwujudkan kerana dikhuatiri si isteri tidak dapat melayan kemahuan si suami dengan baik. Oleh sebab itu, meminta izin adalah sangat penting.


2. Melayan suami
Si isteri juga hendaklah melayan kehendak suami dengan baik pada bila-bila masa sahaja. Hubungan yang perlu dijaga ialah hubungan kelamin antara kedua-duanya. Oleh sebab itu, si isteri hendaklah memastikan bahawa ia melayan kehendak suaminya.

Untuk mengelakkan daripada digolongkan dalam golongan yang ingkar, maka isteri perlulah memenuhi kemahuan si suami jika tidak mempunyai alasan yang kukuh untuk menolaknya.


3. Menguruskan rumahtangga
Tugas seorang isteri ialah untuk menjadikan tempat tinggalnya sebagai satu tempat untuk berehat serta menghasilkan persekitaran yang menyenangkan. Isteri hendaklah menghias rumah itu supaya ia kelihatan damai dan rasa senang hati untuk tinggal di situ. Untuk menghias rumah itu, si isteri perlulah menghias mengikut kemampuan keperluan keluarga itu. Citarasa hiasan dalaman itu bergantung kepada suami isteri asalkan ia tidak melanggar hukum Islam.

Pengurusan rumahtangga adalah tanggungjawab seorang isteri. Walaupun mempunyai pembantu rumah, isteri masih bertanggungjawab untuk menyelia segala pengurusan rumah itu. Suami pula diharapkan dapat membantu si isteri dalam melakukan kerja-kerja rumah. Dengan adanya kerjasama daripada kedua-dua belah pihak, maka akan wujudlah sebuah keluarga bahagia serta dapat merapatkan lagi hubungan sesama mereka.


4. Menjaga maruah diri, suami & keluarga
Sebagai seorang isteri, isteri hendaklah menjaga maruah dan akhlak terutamanya apabila keluar dari rumah. Apabila si isteri keluar rumah kerana sebab-sebab tertentu seperti bekerja, melawat sanak saudara atau keluar membeli-belah, pakaian yang dipakai hendaklah menutup aurat dan tidak menjolok mata, berjalan dengan cara yang tidak menarik perhatian ramai serta berkelakuan baik. Si isteri perlulah menundukkan pandangan serta menjauhkan dirinya daripada segala fitnah yang mungkin akan berlaku.

Seperti juga tanggungjawab si suami terhadap si isteri, segala kecacatan yang ada pada si suami hendaklah dirahsiakan. Ini adalah untuk mengelakkan perasaan aib timbul yang boleh menjurus kepada perbalahan. Sudah tentu perbalahan seperti ini perlulah dielakkan kerana ia boleh mengganggu pembentukan keluarga bahagia.


5. Menyenangkan hati suami
Apabila si suami memberikan pemberian dalam apa sahaja bentuk, adalah menjadi tanggungjawab si isteri untuk menghargai pemberian suami itu. Si isteri tidak boleh meminta-minta hadiah daripada si suami yang melebihi daripada kemampuannya. Jika mendapat hadiah walaupun yang kecil sahaja, isteri hendaklah menghargainya dan tidak mengkritik-kritik bentuk hadiah itu.

Untuk menyenangkan hati si suami melihat si isteri, maka si isteri haruslah menjaga dirinya supaya kelihatan ceria dan menarik. Ketika berada di dalam rumah, si isteri perlulah mengenakan solekan yang sewajarnya agar suami tertarik hati melihatnya. Si isteri juga hendaklah memakai wangi-wangian yang boleh menarik perhatian si suami.


6. Pendorong & memberi motivasi
Isteri yang solehah seharusnya menjadi teman berunding bagi suami, menjadi sahabt dalam menyelesaikan masalah. Itulah sebabnya hubungan suami isteri itu diertikan orang sebagi “teman hidup”. Jika suami menghadapi masalah untuk mencapai cita-citanya dan keluarganya, maka berilah motivasi kepada suami disamping menghiburkan hatinya.






Info dari Airmien

No comments: